Home / Bola Sepak / #AFFSUZUKI2018 Naga Emas ikat Harimau Malaya di Bukit Jalil

#AFFSUZUKI2018 Naga Emas ikat Harimau Malaya di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 11 DISEMBER 2018 :  Harimau Malaya gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar mampu terikat seri 2-2 bertemu Vietnam pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bolasepak Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Bukit Jalil.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu mempamerkan aksi bertenaga dengan menguasai sepenuhnya 15 minit pertama perlawanan mengasak ke kubu Vietnam yang dipimpin oleh Que Ngoc Hai.

Bagaimana pun Harimau Malaya dikejutkan jaringan awal pihak lawan seawal minit ke-22 menerusi menerusi Nguyen Huy Hung hasil dari tindakan bijak Do Duy Manh yang berjaya meloloskan diri dari perangkap offside untuk menjarah sebelah kanan pintu gol Malaysia seterusnya melakukan hantaran lintang yang disempurnakan dengan rembatan kencang dalam kotak penalti oleh Nguyen Huy Hung.

Kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad memberi sokongan berganda buat pasukan Harimau Malaya. Gambar oleh Khairil Ajhar / SukanMalaysiaDotMy

Dua minit selepas itu, skuad negara sekali lagi tersentak apabila rembatan kencang Pham Duc Huy dari luar kotak Dpada minit ke-26 melepasi penjaga gol negara Farizal Marlias rentetan kelonggaran barisan pertahanan Malaysia yang mengambil masa yang lama untuk kembali pulih akibat kejutan gol pertama.

Bagaimana pun Shahrul Saad  kembali menebus kesilapannya dan rakan-rakan di barisan pertahanan dengan menjaringkan gol sulung negara minit ke-36 menerusi tandukan kencang hasil sepakan sudut membolehkan Malaysia merapatkan jurang jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Aksi babak kedua bersambung dengan kedua-dua pasukan bangkit mencari gol, berbalas-balas serangan serta cuba mendominasikan permainan.

Pada minit ke-60 Safawi Rashid berjaya menghasilkan sepakan percuma yang cantik menerjah gawang Vietnam bagi membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan 2-2 .

Jaringan tersebut seterusnya menukar tempo perlawanan  bagi kedua-dua pasukan menjadikan permainan semakin rancak dan menarik namun tiada tambahan gol berjaya dihasilkan sehinggalah wisel penamat dibunyikan oleh Beath Christopher James dari Australia membolehkan anak-anak buah Park Han Seo membawa pulang bekalan ‘ole-ole’ selesa ke Hanoi.

“Barisan pertahanan agak hilang fokus dan ketiadaan Syahmi Safari nyata memberi impak buat barisan pertahanan. Kami masih mempunyai baki 90 minit untuk menterjemahkan apa yang terjadi di Bangkok ke Hanoi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah”, ujar jurulatih Malaysia iaitu Tan Cheng Hoe dengan nada optimistik.

Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut hadir menyaksikan perlawanan ini. Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam kejohanan dwi tahunan ini pada tahun 2010.