Home / Bola Sepak / #AFFSUZUKI : Mat Yo selamatkan Harimau Malaya.

#AFFSUZUKI : Mat Yo selamatkan Harimau Malaya.

Norshahrul Idlan Talaha cemerlang dengan 2 gol untuk membantu Malaysia membenam Laos di Stadium Bukit Jalil. Gambar © Khairul Ajhar / SukanMalaysiaDotMY

KUALA LUMPUR 12 November 2018 : Penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha membuktikan bahawa beliau masih berbisa apabila menyelamatkan skuad Harimau Malaya dengan menjaringkan 2 gol pada babak akhir perlawanan menentang Laos di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur malam tadi yang berkesudahan dengan Malaysia berjaya menewaskan Laos dengan jaringan 3-1.

Di atas kertas, Malaysia dianggap mudah untuk mengatasi Laos, namun keadaan berubah apabila wisel permulaan ditiupkan dengan Laos terlebih dahulu menjaringkan gol hasil sepakan percuma pada minit ke-7 oleh Phithack Kongmathilath.

Terkejut dengan gol tersebut, anak buah Tan Cheng Hoe mula mengatur serangan bertali arus ke pintu gol Laos dan hasilnya Zaquan Adha berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Kemasukan Akhyar Rashid ubah corak menyerang pasukan Malaysia. Gambar © Khairul Ajhar / SukanMalaysiaDotMy

Menyedari kemenangan adalah wajib bagi membolehkan skuad Harimau Malaya melangkah jauh, pemain mula mengatur gerak menyerang dengan lebih tersusun namun disiplin yang tinggi di kalangan barisan anak buah V Sundramoorthy dan kecekapan penjaga gol Laos mengagalkan usaha penyerang Malaysia.

Terikat 1-1 di separuh masa pertama, permulaan 15 minit diseparuh masa kedua masih belum menampakkan penyerang-penyerang negara mampu merobohkan benteng Laos.

Buntu dengan kedudukan itu, Cheng Hoe bingkas menggunakan kesemua pemain penyerang yang ada dengan memasukkan Akhyar Rashid, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri menggantikan Syazwan, Safawi dan Syafiq.

Ternyata percaturan itu menampakkan tanda positif dengan gerakan-gerakan berbahaya dicipta dan beberapa kali penonton di Stadium Bukit Jalil bersorak hampa apabila percubaan-percubaan Akhyar Rashid dan Hazwan Bakiri terkena palang dan tersasar beberapa inci dari gawang.

Skuad Harimau Malaya terus mengasak hebat gawang Laos dan akhirnya pada minit ke-83, penjaga gol Laos, Outthilath Nammakhot tewas jua apabila Norshahrul yang beraksi dalam penampilan kali ke-5 dalam kempen Piala AFF, berjaya menolak masuk bola hantaran Akhyar untuk mengegarkan Stadium Bukit Jalil.

Di kala penonton sudah mula menjangkakan perlawanan akan berakhir, skuad Harimau Malaya terus mengasak pintu gol Laos dan hantaran lintang Akhyar Rashid berjaya disambar dengan tandukan cantik Norshahrul pada minit2 akhir masa tambahan untuk menjadikan kedudukan Malaysia 3, Laos 1.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik dalam misi memburu tempat ke separuh akhir, apabila akan bertemu Vietnam di Hanoi Jumaat ini dan Myanmar pada aksi terakhir di Bukit Jalil pada 24 November.