Home / Badminton / AEON Credit Purple League Junior (ACPLJ) 2019 : KSBC raih gelaran sulung ACPLJ

AEON Credit Purple League Junior (ACPLJ) 2019 : KSBC raih gelaran sulung ACPLJ

KUALA LUMPUR (20 OKTOBER) – Pendatang baru, Kelab Badminton Kuantan Synergy (KSBC) berada di kelas tersendiri apabila meraih gelaran AEON Credit Purple League Junior (ACPLJ) 2019 dengan rekod bersih sejurus berakhirnya saingan Divisyen 1 di Sports Arena Sentosa, hari ini.

Pengarah Urusan AEON Credit Service M Bhd, Yuro Kisaka (berbaju polo) menyampaikan trofi kejuaraan AEON Credit Purple League Junior 2019 kepada pasukan Kuantan Synergy BC pada majlis penutup dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Sports Arena Sentosa petang tadi

Mendahului seawal pusingan pertama di Sports Arena Falim, Ipoh, kelab bimbingan ketua jurulatih, Azman Amman itu meneruskan dominasi mereka sehingga pusingan ketiga dan terakhir di Sports Arena Sentosa, dengan rentetan kecemerlangan lapan kemenangan berturut-turut.

Kejayaan KSBC menandakan kali kedua berturut-turut gelaran Divisyen 1 dirangkul oleh pasukan yang baru dinaikkan daripada Divisyen Dua selepas juara musim lalu, Kelab Badminton Bukit Cheras (BCBC).

KSBC tidak berdepan masalah menundukkan lawan mereka, Cheras BC (15-2) hari ini, diikuti kejayaan ke atas Bandar Maharani BC (12-8) hari ini. Perlawanan di antara Bandar Maharani merupakan perlawanan penentuan di mana juara akan menjulang kejuaraan ACPLJ musim kelima.

“Saya sebenarnya terkedu memandangkan kami adalah pasukan yang baru dinaikkan daripada Divisyen 2 ke Divisyen 1. Pemain Kuantan Synergy bekerjasama sepanjang musim pertama kami di Divisyen Satu.

“Kesemua pemain menampilkan semangat luar biasa. Walaupun kami budak baru di Divisyen Satu, saya berkata kepada mereka bahawa mereka mampu untuk meraih gelaran Divisyen Satu” kata  Azman ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Aksi ayam tambatan Kuantan Synergy BC, Siti Nurshuhaini Azman ketika pusingan akhir AEON Credit Purple League Junior 2019 petang tadi

Kejayaan KSBC membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 manakala naib juara, Kepong BC berpuas hati dengan RM20,000.

Dalam pada itu, Kelab Badminton Ayer Itam (Ayer Itam BC) turut menamatkan rentetan kecemerlangan mereka, tujuh kejayaan berturut-turut untuk meraih gelaran Divisyen Dua.

Kejayaan ini membolehkan mereka menempah tiket automatik ke Divisyen Satu selain hadiah wang tunai RM5000.

Mengiringi mereka adalah Kelab Badminton Klang Rising yang muncul naib juara. Kelab berpangkalan Selangor itu turut membawa pulang RM3000.

Pengarah Urusan AEON Credit Service, Yuro Kisaka berkata: “Sebagai warga korporat yang percaya dengan misi untuk membangunkan modal insan, kami berbangga untuk membantu dalam misi mencungkil bakat baru sukan badminton menerusi kejohanan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Purple League, Dato’ Jack Koh juga menyatakan rasa puas hati terhadap penganjuran edisi kelima tahun ini.

“Badminton masih sukan yang popular di negara ini. Sejumlah 79 perlawanan dilangsungkan  membabitkan 22 pasukan daripada Divisyen 1 2 dan juga Divisyen 3 yang baru diperkenalkan musim ini.

PUSINGAN AKHIR ACPLJ2019

KEPUTUSAN (20 Oktober 2019)

Divisyen Satu – 9am

Bukit Cheras BC 8-12 Amanjaya BC                     

Rawang BC 14-6 Petaling BC                            

Kepong BC 10-8 Bandar Maharani BC         

Kuantan Synergy BC 15-2 Cheras BC  

3pm

Kuantan Synergy BC 12-8 Bandar Maharani BC      

Kepong BC 13-4 Petaling BC                             

Rawang BC 12-4 Amanjaya BC               

Bukit Cheras BC 9-10 Ampang Jaya BC

Divisyen Dua – 12pm

Damansara BC 12-7 Ipoh BC                     

Serdang BC 15-4 PGBC                     

Desa Petaling BC 6-10 Klang Rising BC                          

Ayer Itam BC 12-7 Tebrau City BC