Home / Golf / Adidas taja pakaian Pasukan Media Malaysia ke Piala Causeway 2019

Adidas taja pakaian Pasukan Media Malaysia ke Piala Causeway 2019

Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal (kiri) bersama dengan Pengurus Kanan Pemasaran Adidas Malaysia, Eileen Fong bergambar semasa upacara penyerahan tajaan di Kuala Lumpur. ©SukanMalaysiaDOTmy

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2019 : Syarikat pengeluar pakaian jenama terkenal, Adidas menjadi penaja pakaian Pasukan Media Malaysia ke Kejohanan Golf Piala Causeway yang akan berlangsung pada 9 dan 10 September ini di Kelab Golf Sentosa, Singapura. 

Hubungan yang baik diantara media dan Adidas Malaysia menjadi faktor utama kepada penajaan ini dan sokongan pihak Adidas Malaysia dilihat kena pada waktunya dalam misi pasukan Malaysia mempertahankan Piala Causeway yang dimenangi pada tahun lalu. 

Menurut Pengurus Kanan Pemasaran Adidas Malaysia, Eileen Fong, pihak media sentiasa membantu dalam kerja-kerja promosi dan hebahan barangan adidas terutamanya barangan golf yang menjadi antara produk utama Adidas Malaysia. 

“Kami sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak media dan apabila ditawarkan untuk menjadi rakan penaja kepada pasukan media Malaysia, kami tidak teragak-agak untuk bersetuju dan menjadi sebahagian dari pasukan ini’ ujar Eileen.

Sementara itu ketua pasukan Media Malaysia, Arep Kulal berkata tajaan yang diberi oleh pihak Adidas Malaysia amat membantu dalam melancarkan lagi pengurusan pasukan. Mengharapkan lebih ramai lagi syarikat korporat yang boleh membantu dan menaja pasukan Media Malaysia, beliau yakin tajaan yang diterima menjadi pembakar semangat buat para pemain.

“Tajaan dari Adidas amat penting buat pasukan, pengurusan perbelanjaan yang tinggi di Singapura menjadi cabaran pengurusan pasukan kali ini. Tajaan ini dapat menaikkan semangat pasukan Media Malaysia untuk memberikan prestasi terbaik dalam kejohanan Causeway nanti.“ ujar Arep Kulal

Kejohanan Golf Piala Causeway yang memasuki edisi kali ke -12 menemukan pengamal media dari Malaysia dan Singapura yang akan bertarung selama 2 hari mengikut format ‘Ryders Cup’. Tuan rumah kejohanan dibuat mengikut giliran dengan Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun lalu. 

Malaysia telah memenangi Piala Causeway sebanyak 7 kali dan dalam misi untuk melengkap hatrick kejuaraan sejak tahun 2017.