Home / Bola Sepak / ACL 2020 : MALAYSIA DIPILIH JADI TUAN RUMAH KUMPULAN G DAN H

ACL 2020 : MALAYSIA DIPILIH JADI TUAN RUMAH KUMPULAN G DAN H

Malaysia mendapat hak untuk menganjurkan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan dua kumpulan zon timur iaitu kumpulan G dan H.

Ini memberikan satu perkembangan positif buat wakil negara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal beraksi di laman sendiri sebaik kempen bersambung Oktober nanti.

Keputusan berkenaan dibuat badan induk bola sepak Asia (AFC) berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Bagaimanapun belum ada kata putus Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan maklumat yang dikongsi sebelum ini ada menyatakan penganjuran kejohanan di peringkat antarabangsa adalah tidak dibenarkan setakat ini.

Namun keputusan AFC memilih Malaysia selaku venue tetap bagi saingan Liga Juara-Juara Asia zon timur bagi kumpulan G dan H bakal memberi kelebihan kepada wakil tunggal negara JDT.

Kempen ACL dijadualkan kembali bersambung bermula 17 Oktober hingga 1 November.

Ia diikuti dengan perlawanan ke-16 tiga hari berselang dengan dua perlawanan suku akhir pada 25 November dan satu perlawanan separuh akhir tiga hari kemudian.

Setakat ini AFC masih belum memutuskan venue bagi saingan kumpulan E dan F sementara Qatar dipilih sebagai gelanggang pertandingan bagi zon barat.

Kumpulan G bakal menyaksikan persaingan diantara JDT bersama Vissel Kobe (Jepun), Ghuangju Evergrande (China) dan Swan Samsung Blue Wings (Korea Selatan).

Manakala kumpulan H pula dihuni Yokohama F Marinos (Jepun), Jeobuk Hyundai Motors (Korea Selatan), Sydney FC (Australia) dan Shanghai SIPG (China).

Selepas dua perlawanan JDT kini menduduki tangga kedua kumpulan G memulakan kempen dengan kekalahan 1-5 kepada Vissel Kobe sebelum mengatasi Swan Blue Wings 2-1 pada perlawanan kedua.