Home / Bola Sepak / ABK 2019 : JDT dominasi 12 anugerah

ABK 2019 : JDT dominasi 12 anugerah

Dominasi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pemenang tiga piala musim 2019 bukan saja diatas padang tetapi juga pada malam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang menyaksikan skuad harimau selatan mendominasi 12 kategori yang dipertandingkan.

Tumpuan sudah semestinya kepada anugerah utama Pemain Paling Bernilai yang sekali lagi berjaya dipertahankan pemain sayap profilik Mohd Safawi Rasid.

Safawi Rasid pemain sayap berusia 22 tahun kelahiran Dungun Terengganu itu berjaya mencipta sejarah peribadi selepas menjadi pemain termuda memenangi Anugerah Pemain Muda Paling Bernilai musim lalu.

Dan kali ini satu lagi kejayaan manis apabila Safawi mempertahankan gelaran berkenaan selepas menampilkan aksi memberangsangkan bersama JDT sepanjang musim ini.

Dengan menjadi tonggak penting yang membolehkan pasukan itu menyambar tiga trofi utama musim ini : Piala Sumbangsih, Piala Liga Super dan Piala Malaysia.

Tidak setakat itu Safawi turut merangkul tiga lagi anugerah iaitu Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular selain memenangi gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dengan lapan gol.

Dominasi JDT diteruskan dengan Akhyar Abdul Rashid memenangi gelaran Pemain Muda Harapan, Diogo Luis Santos (Pemain Import Terbaik) , Farizal Marlias (Penjaga Gol Terbaik), dan Harris Harun (Pemain ASEAN Terbaik).

JDT juga memenangi Anugerah Pasukan Terbaik, Penyokong Terbaik, Media Sosial Terbaik, dan Laman Web Terbaik menjadikan keseluruhan 12 anugerah kesemuanya dibawa pulang skuad harimau selatan.

Kategori lain menyaksikan pemain tengan Pahang Mohamadou Sumareh dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik manakala pengendali skuad Tok Gajah Dollah Salleh merangkul Anugerah Jurulatih Terbaik.

Pertahanan Perak Shahrul Saad pula mempertahankan Anugerah Pertahanan Terbaik yang diraih tahun lalu.

Anugerah Kasut Emas Penjaring Terbanyak Keseluruhan diraih penyerang Kedah Fernando Rodriguez dengan 21 gol. Manakala Kpah Sherman dari PKNS FC menjadi Penjaring Terbanyak Liga Super dengan 14 gol.

Pemilihan ABK ditentukan menerusi jawatankuasa saringan sebelum pemenang ditentukan oleh jurulatih, kapten pasukan dan wakil media tempatan.