Home / Hoki / 6 negara sertai Piala Sultan Azlan Shah 2019

6 negara sertai Piala Sultan Azlan Shah 2019

Gambar oleh Arena Hoki Malaysia

IPOH : Enam negara mengesahkan tempat untuk menyertai kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, 23 hingga 30 Mac ini.

Pada kejohanan kali ini, Australia tidak dapat beraksi berikutan terbabit dalam Liga Profesional edisi pertama dilancarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bermula Januari hingga Jun ini.

Namun,juara Sukan Asia iaitu Jepun akan mengambil bahagian sekaligus membolehkan peminat tanahair menyaksikan aksi ulangan final di Jakarta tahun lalu antara Jepun dan Malaysia pada Sukan Asia di Jakarta-Palembang

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan, Datuk Abd Rahim Mohd Ariff, berkata negara yang sudah mengesahkan penyertaan ialah India, Kanada, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Jepun selain tuan rumah, Malaysia.

Abd Rahim berkata, skuad negara mempunyai peluang cerah meraih gelaran juara buat kali pertama sejak kejohanan dipertandingkan pada 1983 berikutan ketiadaan pasukan elit dunia seperti Australia, New Zealand, Belgium dan Pakistan.

“Jika dilihat ranking pasukan lain, nampaknya pencabar kita adalah India, namun kita tidak boleh mengetepikan Jepun sebagai juara hoki dalam Sukan Asia (tahun lalu).

“Bagaimanapun, peluang untuk Malaysia ke perlawanan akhir amatlah cerah,” katanya.