Home / Golf / 5 birdie bantu Malcolm Ting kongsi carta pendahulu di pusingan pertama Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia

5 birdie bantu Malcolm Ting kongsi carta pendahulu di pusingan pertama Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia

Malcolm Ting pada aksi di Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia di Kelab Golf Sarawak, Kuching. Gambar ©MGA

KUCHING 20 Jun 2018: 5 catatan birdie membantu pemain negara Malcolm Ting untuk berkongsi sebagai pendahulu pusingan pertama dengan pemain Flilipina Luis Miguel Casro dan Lawry Flynn dari Australia di Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke-117 yang berlangsung di Kelab Golf Sarawak, Kuching.

Pemain kelahiran Miri, Sarawak itu mencatatkan birdie di lubang ke 3,8,9,12 dan 15 namun 3 bogey di lubang 11,13 dan 16 memaksa Malcolm menamatkan saingan pusingan pertama dengan catatan 70, dua di bawah par untuk berkongsi ditempat pertama dengan 2 lagi pemain, Luis Miguel Castro dari Filipina dan Lawry Flyn dari Australia yang turut melakukan catatan 70, dua di bawah par. 

Lawry Flynn dari Australia. Gambar©MGA

Bermula pada sesi pagi, Malcolm yang baru berusia 17 tahun gembira dengan corak permainannya dan lebih yakin untuk menghadapi cabaran pusingan kedua pada hari esok namun berharap beliau mampu lebih konsisten dengan pukulan yang dilakukan. 

“Satu permulaan yang baik buat saya dan saya sedar saya perlu lebih konsisten untuk terus berada di kedudukan teratas. Saya berharap untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik pada pusingan kedua esok. Lapangan ini amat sukar dengan ‘fairway’ yang sempit dan ‘green’ yang laju. Sedikit kesilapan boleh menghukum”, ujar Malcolm yang merupakan pemain amatur no 1 di Sarawak. 

Putri Alyaa Ghanny ©MGA

Sementara itu dalam kategori wanita, 3 pemain wanita negara mengungguli kedudukan 3 teratas senarai pendahulu dengan Putri Alyaa Ghanny mencatatkan 69pukulan, 3 di bawah par, sambil diikuti rapat oleh pemain negara yang berpengkalan di USA, Natasha Andrea Oon yang mencatatkan 70pukulan, 2 di bawah par dan Liyana Durasic ditempat ketiga yang mencatatkan 71pukulan, 1 di bawah par. 

Seramai 157 pemain lelaki dan 38 pemain wanita dari 17 buah negara antaranya Autralia, Bahrain, Brunei, Hong Kong, Indonesia, India, Korea, Filipina, Pakistan, Singapura, Fiji, Guam dan Japan menyertai kejohanan kali ini yang merupakan antara Kejohanan Golf  Amatur tertua di dunia.  

Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke 117 yang merupakan kejohanan anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA), diuruskan oleh Persatuan Golf Sarawak dengan tajaan sepenuhnya dari kerajaan Negeri Sarawak. Kejohanan kali ini diadakan di bandar Kuching bersempena dengan Tahun Melawat Sarawak 2019.

Setiausaha Agung Persatuan Golf Malaysia (MGA), Dato’ Zulkifli Ismail ketika dihubungi ternyata teruja dengan sambutan yang diterima pada tahun ini. Kehadiran pemain-pemain utama dari negara-negara luar pada edisi tahun ini membuktikan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia merupakan antara kejohanan golf elit yang harus disertai oleh pemain amatur. 

“Penyertaan tahun ini jauh lebih baik dari tahun sebelumnya dengan kehadiran beberapa pemain-pemain amatur terbaik di rantau ini. MGA juga mengambil inisiatif dengan mengembalikan semula kategori wanita pada kejohanan kali ini sebagai langkah untuk terus konsisten dalam membangunkan sukan golf dikalangan pemain wanita”, ujar Dato’ Zulkifli Ismail. 

Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia berlangsung selama 4 hari mulai hari ini hingga 23 Jun 2019, dengan kategori lelaki bermain di lapangan Matang/Santubong, Par 72, 6423 meter manakala kategori wanita beraksi di lapangan Siol/Demak, Par 72, 5485meter. Pusingan kedua kejohanan akan bermula pada jam 6.45pagi.