Home / Hoki / 38 PEMAIN SERTAI KEM LATIHAN PEMILIHAN

38 PEMAIN SERTAI KEM LATIHAN PEMILIHAN

Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 yang dijadikan landasan untuk pemain-pemain hoki di Malaysia membuktikan kemampuan selain menambat hati pengendali Skuad Senior Lelaki Negara, Arul Selvaraj telah melabuhkan tirai pada hujung minggu lalu dengan 38 pemain berjaya meraih tempat di sesi latihan pusat yang juga merupakan fasa pemilihan terakhir.

Sesi latihan yang bermula pada 5 Oktober sehingga 19 Disember 2020 itu menyaksikan daripada 38 pemain yang dipanggil 13 daripadanya merupakan muka baru termasuk pemain yang pernah digugurkan sebelum ini oleh pengendali Malaysian Tigers terdahulu.

Menerusi senarai yang telah dikeluarkan, lima penjaga gol dipanggil, 11 pemain pertahanan, 13 pemain tengah dan sembilan daripadanya merupakan pemain diposisi penyerang sementara berdasarkan pecahan negeri yang diwakili oleh mereka ketika Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020, Kuala Lumpur (7 pemain), Terengganu (6 pemain), Perak (6 pemain), Pahang (3 pemain) PDRM, Perlis, Negeri Sembilan, Sabah, dan Johor (masing-masing 2 pemain), Selangor dan Pulau Pinang (1 pemain daripada setiap negeri) sementara empat pemain lagi tidak beraksi di kejohanan tersebut.

Hanya 25 pemain yang berjaya membuktikan kemampuan terbaik mereka akan terus kekal berada di dalam senarai pemain kebangsaan sementara 13 pemain lagi terpaksa diketepikan dengan purata usia pemain yang tersenarai ialah 25.3 tahun.

11 minggu latihan pusat yang akan berlangsung itu juga akan digunakan oleh jurulatih Arul Selvaraj sebagai salah satu rangka persediaan bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 19 Mac 2021 di Dhaka, Bangladesh.

Namun pemilihan pemain untuk bersama pasukan kebangsaan tidak akan terhenti disitu. Ini kerana jurulatih, Arul Selvaraj akan turut menjadikan saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2021 sebagai satu lagi medium untuk meneliti pemain terbaik yang boleh dipanggil menyertai kem kebangsaan.

Menurut Jurulatih Kebangsaan, Arul Selvaraj, beliau mempunyai fokus yang tersendiri dalam membentuk pasukannya dengan beberapa perkara penting akan dititikberatkan selain melihat kepada bakat serta skill yang dimiliki oleh pemainnya.

“Saya membuat pemilihan berdasarkan beberapa kriteria seperti bakat yang mereka miliki, skill yang mereka ada selain saya juga melihat kepada komitmen yang telah mereka tampilkan, kemahuan mereka untuk buktikan bahawa mereka adalah yang terbaik selain kerja keras yang mereka tunjukkan.

“Ketika membentuk pasukan ini nanti, saya mempunyai beberapa perkara yang ingin saya ubah seperti mentaliti pemain itu sendiri untuk tidak memikirkan bahawa bakat yang dimiliki sahaja cukup untuk menjamin tempat mereka di dalam pasukan kebangsaan.

“Saya mahu pemain yang bukan sahaja memiliki bakat tetapi pemain yang mempunyai tujuan tentang apa yang mereka mahukan dan bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri termasuk menjaga tahap ketahanan tubuh badan serta kecergasan mereka,” jelasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak (tengah) mempengerusikan sidang media hari ini bersama Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Arul Selvaraj (kiri) dan Pengurus Pasukan Kebangsaan, Dato’ Mirnawan Nawawi (kanan)