Home / Golf / #WAITGC2016 :- Anak Kedayan muncul juara di Pulau Pinang

#WAITGC2016 :- Anak Kedayan muncul juara di Pulau Pinang

Pasukan Anak Kedayan bergambar selepas memenangi . Gambar © WAITGC

Pasukan Anak Kedayan yang dibarisi oleh Khairul Jamaludin, Suhaimi Ibrahim, Qawwim Aslimin dan Shaiful Rizal Ahmad bergambar selepas memenangi kejohanan WAITGC pusingan ke-3 di Penang . Gambar © WAITGC

BUKT JAWI, 03 Jun 2016: Pusingan ketiga Kejohanan Golf Berpasukan Dunia (WAITGC) terus menyaksikan kejaguhan pasukan dari negara Brunei Darussalam apabila gandingan Khairul Jamaludin, Suhaimi Ibrahim, Qawwim Aslimin dan Shaiful Rizal Ahmad yang menamakan pasukan mereka sebagai ‘Anak Kedayan’ muncul juara, sekaligus menempah slot kepusingan akhir WAITGC.

‘Anak Kedayan’ mengumpul catatan 940 pukulan keseluruhan, catatan konsisten sejak hari pertama yang berlangsung di Kelab Golf Pulau Pinang (PGC). Kuartet Brunei yang sudah acap kali mengambil bahagian dalam kejohanan yang kini memasuki edisi ke 24 ini mendahului dengan 232 pukulan dan 230 pukulan di PGC sebelum melebarkan kelebihan pada baki dua pusingan berikutnya di Bukit Jawi Golf Resort dengan catatan 240 dan 238 pukulan.

Tonggak utama ‘Anak Kedayan’, Qawwim Aslimin yang bermain handicap 0 muncul pemain terbaik pusingan ketiga WAITGC setelah mencatat 304 pukulan keseluruhan, sekaligus menyamai pencapaian adiknya, Qazzri, yang sebelum ini muncul pemain terbaik pada pusingan pertama di Johor Bahru.

” Kami sangat gembira untuk melangkah sekali lagi ke pusingan akhir WAITGC walaupun telah beberapa kali melakukannya sebelum ini. Sesungguhnya WAITGC amat istimewa kepada kami dan kami berharap untuk muncul juara keseluruhan di grand final nanti” kata Qawwim yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Bukit Jawi Golf Resort.

Dua pasukan Australia, Forster Beach Bums dan Perfect Storm yang menghambat kedudukan pendahulu dari pusingan pertama bagaimanapun terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing mengumpul 962 dan 1047 pukulan.
Sementara itu bagi kategori stableford menjadi milik mutlak pasukan dari Australia apabila menguasai dua tempat teratas. ‘Nights Owl’ bagaimanapun terbukti lebih hebat untuk muncul juara dengan catatan 391 mata menewaskan pencabar terdekat ‘Sureshots’ yang mengumpul 310 mata.

Pusingan ke empat WAITGC 2016 akan berlangsung di Sarawak pada Ogos bagi mencari 5 lagi pasukan untuk ke grand final yang akan berlangsung November nanti.