Home / Bola Sepak / 19 PASUKAN NYATA HASRAT BERTANDING DI DALAM LIGA M3 2021

19 PASUKAN NYATA HASRAT BERTANDING DI DALAM LIGA M3 2021

Amateur Football League (AFL) mengesahkan bahawa sebanyak 19 pasukan Liga M3 yang bertanding pada musim 2020 telah menyatakan hasrat untuk meneruskan penyertaan dalam pertandingan Liga M3 bagi musim 2021 yang dijadualkan bermula pada bulan Mac tahun hadapan.

Antara 19 pasukan Liga M3 2020 yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Langkawi City FC dan NLFC-Mahsa.

Pengerusi AFL, YBhg Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata Liga M3 dan Liga M4 akan distruktur semula di mana ia akan melibatkan pindaan format dan sistem pertandingan secara menyeluruh di semua peringkat.

Menurutnya, format terbaharu Liga M3 akan membenarkan sebanyak 24 pasukan bagi menyertai musim 2021 itu nanti.

“Untuk itu, slot tambahan juga akan dibuka kepada pasukan baharu menerusi kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Negeri (PBN).”

“Pengesahan pasukan yang akan bertanding di dalam Liga M3 2021 hanya akan dibuat setelah kesemua dokumentasi disaring sepenuhnya. Proses saringan ini adalah perlu bagi mengenal pasti pasukan-pasukan terbaik dan kompetitif sekali gus menjadi langkah persediaan bagi menyiapkan mereka (pasukan) kearah semi-pro,” kata Datuk Wira Mohd Yusoff.

Sebagai langkah untuk memastikan penyertaan bagi musim 2021 terdiri daripada pasukan yang berkualiti terutamanya dari segi pengurusan, setiap pasukan termasuk dari kalangan yang terlibat dalam saingan musim 2020 akan melalui proses saringan ini sebelum penyertaan mereka diterima AFL.

Antara kriteria di dalam Garis Panduan Kelayakan Pasukan Liga yang perlu dipenuhi oleh pasukan baharu ini adalah pemilikan pasukan, butiran lengkap kewangan pasukan dan lain-lain lagi.