Home / Bola Sepak / 13 PASUKAN LULUS LESEN KELAB UNTUK BERAKSI PADA CIMB LIGA SUPER 2021

13 PASUKAN LULUS LESEN KELAB UNTUK BERAKSI PADA CIMB LIGA SUPER 2021

Sebanyak 10 daripada 12 pasukan yang beraksi pada CIMB Liga Super 2020 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada saingan CIMB Liga Super 2021, jika layak.

10 pasukan tersebut adalah Felda United FC, UiTM FC, Johor Darul Ta’zim FC, Kedah FA, PDRM FA, Perak FA, Petaling Jaya City FC, Sabah FA, Selangor FA dan Terengganu FC.

Dua lagi pasukan iaitu Pahang FA dan Melaka FA diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat.

Untuk makluman, walaupun pemohonan lesen kelab bagi Felda United FC telah diluluskan mengikut ketetapan dokumentasi pelesenan kelab, pihak sekretariat FAM diminta mendapat penjelasan tambahan daripada Felda Holdings mengenai status kelab bola sepak (FC) bagi musim 2021.

Sementara itu, tiga daripada lapan pasukan yang beraksi pada Liga Premier 2020 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada CIMB Liga Super 2021 atau Liga Premier 2021, jika layak.

Tiga pasukan tersebut adalah Kelantan United FC, Kuala Lumpur FA dan Negeri Sembilan FA.

Lima pasukan lain pula diberikan lesen dengan bersyarat iaitu Kuching FA, Kelantan FA, UKM FC, Pulau Pinang  FA dan Sarawak United FC.

Sebagai makluman tambahan, selepas merujuk kedua-dua dokumentasi pemohonan lesen dan dokumentasi penswastaan UKM FC, FIB FAM tidak berpuas hati dengan maklumat yang dikongsi dan memerlukan penjelasan tambahan daripada pengurusan tertinggi UKM mengenai status FC mereka bagi musim 2021.

Kesemua perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang telah diadakan selama dua hari di Shah Alam pada 1 dan 2 Oktober 2020.

Bagi kesemua tujuh pasukan yang diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat itu, mereka perlu melengkapkan keperluan yang disyaratkan itu sebelum atau pada 31 Oktober 2020.

Sekiranya pasukan-pasukan yang diberi lesen yang bersyarat dari CIMB Liga Super dan Liga Premier gagal melengkapkan keperluan sebelum atau pada 31 Oktober 2020, FIB menpunyai kuasa untuk mengambil tindakan seterusnya yang boleh terdiri daripada denda, pemotongan mata, penurunan liga dan mungkin juga lesen boleh ditarik balik.

Dalam pada itu, ingin dimaklumkan juga bahawa hanya sembilan daripada 20 pasukan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 yang telah memohon untuk lesen AFC bagi musim 2021 iaitu dengan hanya lapan pasukan yang telah lulus dan diberikan lesen AFC bagi membolehkan pasukan-pasukan ini beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2021 dan Piala AFC 2021, jika layak.

Mereka adalah Johor Darul Ta’zim FC, Perak FA, Selangor FA, Terengganu FC, Felda United FC, Petaling Jaya Ciy FC, Kedah FA dan Kuala Lumpur FA.

Walau bagaimanapun, pasukan Melaka FA gagal mendapat lesen AFC kerana gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan untuk lesen AFC.

11 pasukan lain yang tidak memohon lesen AFC 2021 terdiri daripada empat pasukan CIMB Liga Super 2020 iaitu Pahang FA, Sabah FA, UiTM FC dan PDRM FA termasuk juga pasukan Kelantan FA, Kelantan United FC, Negeri Sembilan FA, Pulau Pinang FA, Kuching FA, UKM FC dan Sarawak United FC daripada Liga Premier 2020.

Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2020, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam (6) kriteria utama iaitu kesukanan, Infrastruktur, pegawai dan pentadbiran, perundangan, kewangan dan perniagaan.