Home / Lain - Lain / 11 negara sertai Kejohanan UiTM International Orienteering 2019

11 negara sertai Kejohanan UiTM International Orienteering 2019

Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan sokongan Persatuan Orienteering Antarabangsa (IOF), Kelab Orienteering Malaysia (MOC) dan Majlis Bandaraya Shah Alam akan menganjurkan Kejohanan UiTM International Orienteering 2019.

Paling menarik kejohanan yang ajan diadakan di kampus UiTM Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam pada 6 hingga 8 Disember depan adalah kejohanan peringkat antarabangsa yang kali pertama dianjurkan.

Setakat ini seramai 489 peminat orienteering 11 negara telah mengesahkan penyertaan antaranya dari Belgium, Estonia, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan Filipina.

Manakala penyertaan tempatan terdiri daripada pelajar Universiti Pahang, Universiti Islam Antarabangsa, Politeknik Sultan Ahmad Shah Kedah dan dari kampus-kampus UiTM.

Tiga acara akan dipertandingkan iaitu National Ranking Event bagi kategori lelaki dan wanita, World Ranking Event juga bagi kategori lelaki dan wanita, serta acara Relay Event.

Antara wakil UiTM yang menjadi tumpuan Azam Mohd Shihid yang merupakan juara World Ranking Event dalam kejohanan yang diadakan di Kuantan Oktober lalu.

Bagi atlet kelahiran Kedah berusia 25 tahun ini mengakui sukan orienteering bukan sahaja memerlukan kemahiran dalam pembacaan peta dan kompas, tetapi stamina yang tinggi juga perlu dititikberatkan kerana sukan ini merupakan sukan lasak.

Apapun inisiatif UiTM untuk menganjurkan kejohanan ini dapat mempopularkan lagi sukan orienteering sekaligus meletakkan nama UiTM pada peta sukan orienteering antarabangsa.